Saturday, February 5, 2011

CERPEN...



Bangsa bukan ukuran

     “ Yin,adakah kamu sudah bersiap? Mari, ibu ingin ke kedai segera. Sebentar lagi ayah kamu akan pulang.” Puan Yu Fa memanggil Yin yang sedang leka membaca Akhbar Utusan.
     “ Sebentar ibu, Yin akan bersiap segera,” Yin segera mengemas akhbar dan buku notanya yang berselerakan ketika dia sedang asyik mendalami puisi dan pantun tradisional melayu.
     Yin dan ibunya berjalan beriringan untuk ke kedai Pak Adam. Setiap langkah yang diambil menambah minat dalam diri Yin untuk bersastera.
             Kemudi calus mudah meluncur,
            Ke barat topan cuaca berpindah;
            Berbudi halus sudah termasyur,
            Beradat sopan bahasa indah.
Sebuah pantun berlegar- legar di minda Yin. Pantun itulah yang dikajinya tadi sehingga dia terleka. Yin amat mengagumi keindahan bahasa melayu. Walaupun dia berbangsa Cina, itu tidak menghalangnya untuk mendalami sastera melayu. Yin sendiri dibesarkan di dalam kalangan kaum melayu. Dari segi bahasa, budaya dan permainan orang melayumemang sudah sebati dalam darah dagingnya.
     “Apakah yang Yin kata akan tadi? Ibu kurang dengar,”  ibu Yin bertanya kerana dia terdengar Yin berkata sesuatu.
     “ Oh, tidak ada apa-apa ibu. Yin teringatkan pantun yang Yin baca dalam akhbar tadi. Bahasa Melayu memang bahasa yang indah ibu. ‘Bak kata pepatah, yang kurik itu kendi, yang merah itu saga, yang cantik itu budi, yang indah itu bahasa ‘ bukan begitu  ibu?” Yin memang pandai bermadah kata. 
     “ Bijak anak ibu ini. Yin ingin menjadi sasterawan pada suatu hari nanti?” lama Yin memikirkan pertanyaan ibunya. Yin amat meminati sastera melayu, namun dia sedar dia berbangsa Cina. Belum pernah lagi dia melihat insan yang berasal daripada kaumnya menjadi satu daripada sasterawan Negara yang disegani meskipun dia tahu itulah impiannya.
     “ Ya, itulah impian Yin ibu. Tapi…” Kata- kata Yin terhenti di situ.
     “ Yin, ‘ Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’ Jika benar itu impian Yin, teruskanlah usaha Yin untuk menggapainya. Jangan yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran,” ibu Yin member kata- kata semangat kepada Yin.
     “ Amboi, ibu juga bijak menggunakan pepatah melayu! Terima kasih ibu. Yin akan teruskan impian Yin,” Senyuman terukir di bibirnya. Yin lega mendengar kata- kata ibunya yang menjadi perangsang untuknya meneruskan minat terhadap sastera melayu.
   
 Sedang asyik berjalan, Yin teringatkan satu pantun,
     Meninjau berpadi masak,
     Butang kapas bertimbal jalan;
     Hati risau dibawa galak,
     Bagai panas mengandung hujan.
      Pantun ini seerti dengan jiwanya yang masih bergolak. Peperangan di antara jiwanya yang inginkan sastera atau ayahnya yang inginkan kerjaya yang lebih cerah. Namun itu bukan ukuran untuknya menyerah kalah dengan keadaan. Yin akan membuktukan bahawa dengan sastera melayu, dia akan Berjaya.
     ‘ Papa, tunggu saja Yin berjaya suatu hari nanti,’ monolog Yin dalam hati.
* **
     Tanggal 3 Januari adalah tarikh Yin menjejakkan langkah ke sekolah menengah. Majoriti pelajar di sekolah itu berbangsa Melayu. Susah semestinya pelajar Cina adalah pelajar minoriti. Meskipun berada di suasana sekolah yang baru, minat Yin terhadap sastera tidak pernah pudar. Pada ujian penggal pertama Yin telah mencipta kejayaan apabila keputusan peperiksaan bahasa melayunya paling cemerlang di antara pelajar- pelajar Melayu di sekolah tersebut.
     Sewaktu Yin sedang leka mengulang kaji pelajaran, Puan Harlina memanggilnya ke pejabat. Seperti ada sesuatu perkara penting yang ingin diberitahu Puan Harlina kepadanya namun Yin tidak ingin membuat andaian sendiri.
     “ Yin, minggu hadapan akan diadakan Majlis Anugerah Cemerlang di sekolah kita. Saya amat berbesar hati jika Yin dapat mendeklamasikan sajak atau puisi pada majlis tersebut,” Puan Harlina, guru Bahasa Melayu Yin menjemput Yin untuk mengadakan persembahan.
     “ Tapi Puan Harlina, saya hanyalah pelajar tingkatan 3. Masih ramai lagi kakak- kakak  dan abang- abang  dari sekolah ini yang lebih layak membuat persembahan itu berbanding saya.” Yin meluahkan rasa.
     “ Yin, umur tidak penting, tetapi bakat yang menjadi ukuran. Saya percaya yang awak mampu lakukan yang terbaik pada majlis itu nanti,” balas Puan Noor.
     “ Baiklah Puan Harlina, saya akan cuba buat yang terbaik,” Yin berkata sambil melemparkan senyuman yang manis  kepada gurunya.
 Hari yang ditunggu telah tiba. Yin berasa berdebar menunggu gilirannya untuk mendeklamasikan sajak. Tangannya mulai berpeluh dan pipinya terasa hangat. Keringat atau berpeluh adalah proses berpeluh di mana urea berwarna, jelas, neutral atau sedikit air terdiri daripada bendalir dengan kuantiti garam yang sedikit dikeluarkan melalui pori-pori kulit oleh kelenjar peluh. Haba pula dihasilkan oleh tubuh kerana otot bekerja, stimulasi saraf dan reaksi kimia eksotermik terjadi dalam tubuh badan sangat penting untuk proses metabolisme. Peluh juga adalah mod utama untuk tubuh badan membuang haba yang berlebihan agar badan kita menjadi sejuk dan segar.’ Yin teringat kata- kata guru mata pelajaran Biologinya, Encik Aziz sewaktu menerangkan proses penyahtinjaan dalam badan manusia semalam.  Sewaktu memikirkan apa yang dikatakan oleh guru Biologinya, tanpa disedari gugup Yin telah hilang.
     “ Kini, majlis menjemput, saudari Yin Han Teong untuk mendeklamasikan sebuah sajak. Majlis mempersilakan,” Pengurusi majlis menjemput Yin.
   Yin melangkah ke atas pentas dengan penuh keyakinan. Gugupnya telah hilang, Yin hanya memikirkan semangatnya untuk mendeklamasikan sajak sasterawan pencetus ilhamnya.
  “ Selamat sejahtera kepada semua. Pada hari ini saya akan mendeklamasikan sebuah sajak yang bertajuk Peludah Bahasa  hasil karya sasterawan negara yang amat saya segani, A.Samad Said.”
 Ketika lahir jeritnya amat mesra-hening suara bayi pertama.
Neneknya pengagum hikayat Tuah membisik iktibar ke telinganya.
Datuknya pencinta Siti Zubaidah bersyair merdu ke qalbunya pula.
Doa dan janji di sanubari inilah cucunya kebanggaan dasa-
insan harapan kerdip pertama yang bakal bersinar sebagai pendakwah.
Ketika bertatih di sisi buaian gelincirnya cepat disantunkan.
Ayah dan ibunya cekal berazam anak termanis di hemah Ramadan.
Diasuh ia menjadi wira dan tidakpun dikira ke bidang mana.
Pada hembusan angin di bukit amat merdu terdengar ia menjerit:
Penyegar budi pilihan pertama, penyemai bakti di qalbu desanya.
Ranum di dalam dan di luar negara menjalar akar benih ilmunya;
pergaulannya alam tak berbatas bertingkat cepat dirinya ke atas.
Pada kempen “bersih-cekap-amanah” terhantar ia ke tampuk kuasa;
masih diingat pesan nenek tentang Tuah; saran datuk tentang Zubaidah.
Sebaik menyingsing SatuMalaysia mula terbelah percik mimpinya.
Tapi, kuasa tersangat nikmatnya-darjat dan harta sebuah buana.
Lalu, dalam lagu gema ternyaring giginya berubah menjadi taring.
Leluhurnya kini damai di kubur, dan sayang, dirinya meruncing takbur.
Terakhir, dengar kisah lupanya – semua dangkal kecuali dirinya.
Terakhir, merebaklah bongkaknya sebagai peludah bahasa Ibunda.
Tak lagi dirinya budayawan desa, pembela bahasa tidak juga.
Kini dia niagawan haloba pemburu kuasa paling selesa.
Memang bukan lagi cucu desawan; segebu dirinya kuasawan.
Dilupa Syair Siti Zubaidah dan tidak dikenal Hikayat Hang Tuah.
Sangatlah selesa dan bangga-dirinya tulen peludah bahasa.
     Yin berjaya mendeklamasikan sajak tersebut dengan cemerlang. Semua hadirin terpukau dengan gayanya, intornasinya dan bahasanya. Semenjak dari hari itu, Yin sering membuat persembahan untuk majlis di sekolahnya. Malahan, dia juga dijemput untuk membuat persembahan di majlis- majlis besar seperti Majlis Perlantikan Yang Berhormat di kawasannya dan juga majlis perayaan. Yin amat bangga menjadi pelajar Cina yang mendalami bahasa melayu.
                                                                    ***
     Suatu hari sewaktu membelek- belek Akhbar Utusan yang dibelinya tadi, Yin terlihat akan ruangan sajak oleh sasterawan negara. Yin gembira bukan kepalang apabila dia menatap nama penyajak tersebut, Profesor Madya Dr. Lim Swee Tin. Sasterawan berbangsa Cina itu menjadi penaik semangat Yin untuk menjadi sepertinya. Yin sedar, kepintarannya mencipta pantun, sajak dan juga puisi adalah bakat anugerah Tuhan. Yin juga yakin bahawa bakatnya boleh membawanya jauh di arena sastera negara. Mungkin juga dunia!

No comments:

Post a Comment